alang -alang tersinggah,followlah saya!

03 January 2011

FB ANTARA BAIK DAN BURUK


facebook telah menjadi satu kemestian,kegilaan dunia,bayangkan 500 juta menggunakannya semenjak dilancarkan 2007 kalau tak silap,dan ia mengatasi muzik dan cara sosial masa kini.Anggaplah ia seperti tv,fb ada kebaikannya,kalau kita tau guna caranya..contohnya saya join grup bahasa Arab,banyak faedahnya!dan terkini,family grup.Kalau anda tidak mahu berfb,kurang2nya bukalah untuk family grup.Memang berbaloi-baloi..

Dibawah ,artikel menarik:


SATU kajian rambang mendapati Facebook terdedah kepada undangan berisiko. Atau dengan ayat yang lebih keras, Facebook merosakkan pemikiran pengguna yang tidak berdisiplin.

Ironinya pengasas Facebook dalam usaha mencari ketenangan telah mencipta sesuatu yang kemudiannya meminta orang-ramai memberikan sokongan sebagai satu cara mengalihkan kesedihan kerana baru berpisah dengan teman wanita.

Siapa percaya kegagalan yang dilalui oleh pengasas Facebook ini rupa-rupanya ada hikmahnya kerana ia membuka peluang kepada satu kejayaan sebagai seorang usahawan internet.

Seperti yang umum ketahui, laman sosial ini berpejabat di Palo Alto, Amerika Syarikat dan mula diperkenalkan kepada umum pada bulan Februari 2004 oleh penciptanya Mark Zuckerberg.

Hari ini Mark sudah menjangkau usia 26 tahun tetapi waktu konsep penemuannya menemui orang ramai, Mark belumpun tamat ijazah pertama. Hal ini mengingatkan kita kepada Bill Gates dan Steve Jobs yang dianggap “school drop out” sewaktu mereka muncul sebagai sang genius komputer.

Konsep Internet


Laman maya ini, konsepnya kalau mengikut kaca mata Barat, ia satu pengalihan dari laman “chatting” yang sia-sia kepada laman “sosial” yang lebih berfokus. Ini kerana mengikut penciptanya: “internet bukan lagi merupakan pengalaman peribadi dan tersembunyi, tetapi merupakan satu tenunan sosial, iaitu manusia berkongsi pengembaraan digital harian mereka dengan bukan sahaja kawan-kawan tetapi dengan seluruh dunia.”

Walau bagaimana sekalipun, Facebook yang menjadi gergasi media sosial kini terpaksa berdepan dengan krisis kepercayaan di kalangan para penggunanya termasuklah pengguna di negara ini.

Baru-baru ini sekumpulan pengguna dalam peratus yang agak besar di Amerika Syarikat telah menutup laman sosial mereka kerana tidak puas hati dengan tiadanya jaminan terhadap maklumat peribadi mereka yang diberikan oleh syarikat yang mengendalikan Facebook ini.

Untuk rekod juga, pada mulanya laman ini diperkenalkan kepada para pelajar Universiti Harvard. Dalam tempoh percubaan, jam pertama daripada empat jam Facebook menemui para pelajar secara online, kira-kira 450 orang pelanggan melayari dengan 22,000 gambar pelajar ditonton.

Tanpa mereka sedari sejarah terlakar apabila buat pertama kalinya para pelajar dapat maklumat pertama melihat identiti sebenar pelajar yang turut memenuhi ruang Facebook. Dalam sekelip mata, separuh dari masyarakat Universiti Harvard menjadi pelanggan Facebook.

Tiga tahun lalu, Collins English Dictionary terpaksa memasukkan entri perkataan Facebook sebagai satu perkataan baru, tahun berikut perkataan “unfriend” iaitu jika kita klik perkataan ini bermakna kita tak mahu berkawan dengan orang itu, pula dimasukkan sebagai satu perkataan baru.

Facebook & Kita


Cara hidup dan budaya di luar negara tidaklah sama dengan kita. Sebagai pengguna, ibubapa serta masyarakat di negara ini mulai dibenih dengan iklim kebimbangan. Budaya baru ini merebak begitu pantas sepantas api yang membakar padang lalang.

Dalam alaf ini, budaya inilah yang paling cepat mendidik jiwa pengguna sepantas kilat yang menyambar langit. Keterbukaan laman ini menyebabkan ibubapa sudah tidak lagi boleh mendidik menggunakan rotan dan tangan apatah lagi menggunakan ugutan.

Anak-anak sudah petah menyampaikan permasalahan mereka kepada umum untuk dibaca, dinilai dan mungkin untuk membantu menyelesaikan masalah yang dialami. Cakap-cakap ibubapa sudah tidak diendahkan, kini kanak-kanak yang menghuni dunia Facebook, mempunyai “rakan” yang lebih pakar dalam membantu mereka menyelesaikan masalah.

Bagi mereka yang dikelaskan sebagai aktivis sosial, (juga aktivis politik), laman ini ada baik buruknya bergantung kepada isu-isu yang dijaja. Isu agama serta isu kaum adalah isu yang sering diperdebatkan.

Tidak keterlaluan jika kita katakan isu-isu ini yang membakar hati dan jantung pengguna sehingga melahirkan budaya perdebatan dan perkelahian siber dengan menggunakan bahasa kesat, biadap dan tidak terfikir oleh akal yang rasional.

Pertemuan dengan seorang lelaki yang sudah lapan tahun berumahtangga minggu lepas membuka minda untuk melihat Facebook dari sudut yang lebih terarah. Perkahwinan yang dipupuk atas dasar cinta pandang pertama akhirnya mencapai jalan buntu - bercerai talak satu dan kini hidup bersama-sama tiga orang anak. Isterinya seorang wanita yang persis wajah bintang filem, tinggi lampai dan berwajah pan-asian serta bekerjaya.

Sebagai usahawan dalam bidang IT, banyak masa dihabiskan bertemu pelanggan sama ada di dalam mahupun di luar negara. Ketiadaannya tidak dirasai oleh sang isteri kerana sejak bertemu Facebook, laman ini menjadi pengubat rindu. Melalui Facebook, dia dan isteri melayari bahtera kebahagiaan.

Tetapi tanpa disedari melalui Facebook juga, isterinya bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Dan seperti dalam filem-filem yang “unhappy ending”, isterinya menjalin hubungan asmara dengan teman di dalam Facebook, juga seorang lelaki yang sudah beristeri.

Mereka saling mencurah perasaan dan akhirnya terjebak dalam satu perangkap yang tak menghancurkan rumah tangga mereka semuanya gara-gara perkenalan melalui Facebook.

Bagi anak-anak yang berjauhan dengan keluarga, hidup mereka seolah-olah bebas dari perhatian ibu bapa. Mereka sanggup menghabiskan banyak masa dengan berchatting dan bermain Farmville semata-mata kerana keasyikan dan keseronokan sehinggakan Farmville ini sudah menjadi satu ketagihan. Akibatnya waktu solat kian terabai dan waktu bersama keluarga semakin merosot.

Abai Keluarga

Ada pula yang sanggup berkawan di laman sembang siber dengan kenalan baru sepanjang-panjang waktu lapang tetapi untuk menelefon ayah dan ibu di kampung untuk sekadar bertanyakan khabar jauh sekali.

Masa dengan ibubapa sudah menjadi seolah-olah tidak lagi berharga berbanding masa dengan teman-teman di laman sembang dan sosial seperti Facebook ini. Linangan air mata orang tua tidak sama dengan ketagihan berchatting hingga lewat malam.

Natijahnya mudah - isteri yang mahu mencium bau syurga usahlah melebarkan jaringan kawan semata-mata kerana kesunyian dan mahu bertukar-tukar fikiran. Niat baik tidak semestinya dikabul dengan kebaikan kerana kawan-kawan yang baru dikenali melalui Facebook tidak mudah untuk dikenali.

Ramai yang menyamar identiti semata-mata kerana tidak mahu identiti sebenar mereka terbongkar. Mereka mengambil kesempatan terhadap orang yang lemah. Biar kita kurang jaringan persahabatan daripada kita terjaring di dalam kemaksiatan dan hidup di dalam kepura-puraan.

Nota Kaki: Jika ada anggota keluarga anda, sama ada suami atau isteri terutama anak-anak gadis asyik “chatting” hingga lewat malam, elok diperhatikan mereka agar tidak terjerumus ke lembah yang tidak kita ingini
.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Pages